Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kegusaran mereka terhadap kes keganasan rumah tangga yang akan meningkat sehingga 31 juta kes jika perintah berkurung dilaksanakan sehingga enam bulan demi mengurangkan rantaian Covid-19.
“Ia adalah peningkatan krisis di dalam krisis. Kita perlu memberi perhatian maksimum terhadap hal ini sekarang,” kata Dr Ramiz Alakbarov, Timbalan Pengarah Tabung Kependudukan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA).
CBS News melaporkan bahawa data yang diperolehi daripada Universiti John Hopkins, Avenir Health dan Universiti Victoria, Australia mendapati ramalan pertambahan sehingga 61 juta kes jika perintah berkurung mengambil masa setahun.
“Ia sangat mengganggu. Jika kita tidak lakukan apa-apa, tak bercakap tentangnya, tidak memberi amaran, setiap tiga bulan akan ada pertambahan 15 juta kes,” kata Alakbarov.
Di United Kingdom, sebanyak 49 peratus panggilan kecemasan di talian hotline keganasa domestik direkodkan sejak perintah berkurung dilakukan.
Begitu juga sebanyak 4,000 penahanan yang berkaitan dengan keganasan dalam rumah tangga, selain 16 kes kematian akibat masalah ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh tahun-tahun sebelumnya.