213 cedera dalam insiden pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya – Polis

Dua tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung menyebabkan 213 penumpang yang berada di dalam satu tren itu cedera, dengan 47 daripadanya parah dalam kejadian di dalam terowong di antara Stesen Kampung Baru dan KLCC, malam ini.

Kejadian berlaku pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Seramai 166 lagi penumpang cedera ringan dan kesemua mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur serta beberapa hospital berhampiran.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kesemua penumpang itu berada di dalam tren yang dalam perjalanan dari Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Gombak, manakala sebuah lagi dari Stesen LRT Kampung Baru ke Stesen LRT Gombak dan hanya membawa seorang pemandu.

Menurutnya kedua-dua tren bergerak dengan kelajuan sekitar 40 kilometer sejam ketika bertembung.

Dalam pada itu Satu pasukan petugas khas ditubuhkan serta merta bagi menyiasat insiden pelanggaran membabitkan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya, malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Al Bakri akan menghantar laporan awal insiden ini kepada Kementerian Pengangkutan esok.

“Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat akan hantar laporan awal kepada saya.

“Dalam tempoh dua minggu kita akan siasat sama ada insiden disebabkan kesilapan sistem atau komunikasi. Kita akan pastikan siasatan dan kenal pasti punca pelanggaran ini.

“Ini adalah kejadian pertama membabitkan pertembungan tren LRT dalam 23 tahun sejarah operasinya,” katanya pada sidang media sebentar tadi.

BBerkaitan

Latest articles