2 Pegawai Mara mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Dua pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini masing-masing terhadap lima pertuduhan menerima suapan.

Tertuduh Rizal Abdul Ghani, 44, dan Noor Irwan Marmin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Rizal yang tidak diwakili peguam didakwa atas lima pertuduhan melakukan kesalahan itu di Tingkat 20, Menara MARA, Jalan Tunku Abdul Rahman, sejak 17 September 2021 hingga 21 Januari 2022.

Dia sebagai seorang penjawat awam dituduh menggunakan kepentingan jawatannya sebagai Pengarah Kewangan Korporat Kumpulan MARA Corporation Sdn Bhd, untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan Internal Memo, MARA Corporation.

Rizal didakwa menerima lima bayaran berasingan berjumlah RM30,375 pada 15 September 2021, dan seterusnya sebanyak RM2,625 pada setiap bulan bermula Oktober, November, Disember tahun sama serta Januari 2022 lapor Berita Harian

Hakim mengarahkan Rizal membayar jaminan RM40,000 serta menyerahkan pasport selain mengarahkannya melaporkan diri di balai polis.

Sementara itu seorang lagi tertuduh Noor Irwan juga mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan berasingan selepas menyalahgunakan kuasanya sebagai penjawat awam.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

BBerkaitan

Latest articles