Ada Rundingan Pintu Belakang Untuk Singkirkan Presiden – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ada gerakan untuk menyingkirkan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Dakwa Ahmad Zahid, beliau juga menyedari bahawa ada rundingan pintu belakang yang telah diatur dengan parti lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) dikenali sebagai St Regis. 

“Malah kita tahu, ada rundingan pintu belakang telah diatur dengan Perikatan Nasional…Langkah St Regis.

“Saya tidak mahu mencanangkan di sini, siapa dan apakah gerakan itu.  

“Kerana bagi saya, apa yang telah berlaku, makin menyerlahkan sikap dan nafsu politik serakah peribadi mereka yang terlibat, tanpa mereka memikirkan mudarat kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO Malaysia, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini. 

Jelas Ahmad Zahid, pembentukan Kerajaan Perpaduan dibuat sesuai dengan Perlembagaan Parti dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Justeru itu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi telah membuat keputusan, berdasarkan kaedah pertimbangan mudarat kecil dan mudarat besar. 

“Kita juga turut membuat pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi. Pakatan Harapan mempunyai jumlah kerusi terbanyak, iaitu 82 berbanding 73 yang dimenangi oleh Perikatan Nasional. 

“Rakyat telah memberikan mandat lebih besar kepada Pakatan Harapan, dan atas semangat demokrasi, kita memilih jumlah majoriti yang lebih besar,” katanya. 

Mengulas mengenai pemilihan parti khususnya jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden Parti, Ahmad Zahid berkata, sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, beliau menyerahkan perkara itu kepada perwakilan untuk menentukannya.

“Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan. 

“Saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ori yang mana fake,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles