KUALA LUMPUR: Rangkaian kedai kopi terkemuka, Zus Coffee tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tular membabitkan seorang pekerja wanitanya yang dimarahi dan dilempar secawan kopi oleh pelanggan dipercayai pelancong asing.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan laporan dibuat pada Isnin lalu bagi memastikan keselamatan serta melindungi privasi pekerja terbabit daripada gangguan susulan penyebaran video insiden berkenaan.
“Pekerja tersebut kekal bersama kami dan kini sedang bercuti bergaji untuk memulihkan diri daripada insiden itu. Kesejahteraannya sentiasa menjadi keutamaan kami,” kata kenyataan itu.
Zus Coffee menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk tingkah laku agresif dalam premis mereka dan komited mengekalkan suasana selamat serta harmoni untuk pelanggan dan pekerja.
Syarikat itu turut menggesa pengguna media sosial supaya memadam video tular tersebut yang mendedahkan identiti pekerja berkenaan kerana tindakan itu boleh memberi kesan psikologi jangka panjang terhadap mangsa.
“Kami mengambil kesempatan ini untuk memperkukuh latihan serta sistem sokongan dalaman, demi membina budaya kerja yang berasaskan profesionalisme dan empati,” jelas syarikat itu lagi.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi beberapa saat menunjukkan seorang wanita dipercayai pelancong asing menengking pekerja di sebuah cawangan Zus Coffee sebelum bertindak melempar secawan kopi ke arah barista berkenaan.
Tindakan tidak beradab itu mencetuskan kecaman meluas dalam kalangan warganet yang memuji ketenangan pekerja terbabit dalam menghadapi situasi berkenaan.










