Zuraidah Keluar Bersatu, Sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM)

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin hari ini mengesahkan bahawa dirinya keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Walau bagaimanapun Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata dia akan tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya, iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebah negara maju,” katanya.

PBM dilancarkan pada 21 Dis tahun lepas dan diketuai oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng. Dengan penyertaan Zuraida dalam parti itu, PBM kini mempunyai tiga ahli parlimen dan dua ADUN.

Terdapat spekulasi mengenai Zuraida keluar Bersatu sejak akhir tahun lalu, bersama-sama dengan khabar angin mengenai kepimpinan parti yang tidak sehaluan dengannya.

Spekulasi ini semakin menjadi-jadi selepas sebilangan besar anggota Penggerak Komuniti Negara – sebuah NGO yang diketuai oleh sekutu terkenal Zuraida – secara rasmi menyertai PBM.

Sementara itu, Zuraida berkata dia akan bertemu Ismail Sabri tidak lama lagi untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komoditi.

“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan perdana menteri,” katanya.

Menurutnya lagi sepanjang dirinya berkhidmat di kedua-dua Kementerian, beliau telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka.

“ Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua Kementerian.

Zuraida yang kini berada di turki di atas undangan memberikan ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin dan akan kembali pada 2 jun 2022.

BBerkaitan

Latest articles