KUALA LUMPUR: Sukar untuk mana-mana pihak menafikan usaha Datuk Seri Zuraida Kamaruddin di Ampang selama tiga penggal menjadi Ahli Parlimen itu.
Namun, menurut Rodziah Ismail, calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bersaing dengan Zuraida nanti, mendakwa bekas Timbalan Presiden PKR itu sendiri yang merosakkan jenama yang dibinanya di Ampang setelah mengkhianati parti menerusi Langkah Sheraton.
Maka, atas perbuatan itu, Rodziah mendakwa amat wajar bagi pengundi Ampang tidak memberi peluang kepada Zuraida.
“Jenama itu dia ambil atau pun dia tumpang bawah PKR.
“Dengan menolak individu itu, maknanya mereka di Ampang ni cerdik, mereka bukan sahaja fikir sekadar individu, sebab mereka faham mengundi ini adalah untuk memilih kerajaan,” katanya.
Rodziah berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkaitan dakwaan Zuraida bahawa dia mempunyai jenamanya tersendiri di Parlimen Ampang.
Zuraida, sebelum ini memenangi Parlimen Ampang bawah tiket PKR dengan majoriti 41,956 undi dalam pertandingan empat penjuru – BN, PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Zuraida dilantik ke dalam Jemaah Menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan BN pada 9 Mei 2018.
Bagaimanapun, beliau dipecat daripada PKR bersama bekas timbalan presiden, Datuk Seri Azmin Ali selepas menyertai Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Langkah Sheraton dan menyertai Bersatu.
Namun penyertaan Zuraida ke dalam Bersatu tidak lama yang kemudiannya menyertai PBM pada Mei lalu.
Pada PRU kali ini, Zuraida bakal berdepan persaingan sembilan penjuru dengan pencabar terkuatnya daripada PH iaitu Rodziah.
Sementara itu, ketika ditanya adakah sukar berdepan dengan pengundi Ampang memandangkan beliau calon muka baharu di situ, Rodziah bersyukur “masih bertanding dalam Selangor”.
Rodziah yang juga ADUN Batu Tiga berkata, dia sudah “membuat kerja” di Ampang sejak setahun lalu dan bukan dalam tempoh berkempen ini sahaja.