Zuraida Bantu Kempen Calon PN Bayan Lepas Dapat Sokongan Bukan Melayu

BAYAN LEPAS: Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin turut turun padang membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas merangkap Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau.

Zuraida yang juga Bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), itu berkata beliau mahu membantu calon PN untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Mleayu di negeri itu.

“Saya akan memberi tumpuan untuk membantu PN menembusi kawasan serta pengundi bukan Melayu. Ini kerana saya rasa ketandusan PN adalah kepimpinan Melayu boleh diterima bangsa asing.

“Jadi saya fikir boleh main peranan tersebut dan sebab itu saya membantu Gerakan agar dapat membawa satu imej lebih neutral yang boleh diterima semua masyarakat bukan imej hina sangat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas mengenai pencalonan Dominic bagi kerusi Bayan Lepas, Zuraida berkata, beliau melihat Presiden Gerakan itu mempunyai potensi menambat hati pengundi meskipun sokongan terhadap PH masih kuat.

Beliau juga menyifatkan penampilan Dominic yang sopan-santun serta fasih berbahasa Melayu membuat orang ramai mudah mendekatinya.

“Saya ini agak ganas sikit tapi dia (Dominic) lemah lembut, tahu budaya Melayu dan calon macam ini kita kena mampu sesuaikan diri dalam kalangan masyarakat Cina, India serta Melayu.

“Saya akan beri sokongan 200 peratus untuk memastikan kemenangan Dominic di kerusi ini dan saya yakin pengundi Bayan Lepas tidak akan menyesal sekiranya memberi mandat kepada beliau pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 pada 12 Ogos ini,” katanya.

Selain Bayan Lepas, beliau juga akan membantu kempen di DUN Pantai Jerejak yang merupakan kerusi milik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada penggal lalu.

DUN Bayan Lepas menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan penyandang kerusi berkenaan Azrul Mahathir Aziz (Pakatan Harapan) dan Dominic (PN).

Manakala DUN Pantai Jerejak menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, PH, MUDA dan PRM.

BBerkaitan

Latest articles