‘Zon Selamat’ Israel Di Selatan Gaza Langgar Undang-undang Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal dengan pendirian membantah kezaliman rejis Israel, termasuk dengan perancangan mereka untuk mewujudkan ‘zon selamat’ di Al-Mawasi, selatan Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan hasrat itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Zambry membangkitkan hai itu ketika sesi perbahasan mengenai situasi di Asia Barat termasuk Palestin pada sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.

“Malaysia membantah tindakan mengusir rakyat Palestin secara paksa, di mana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Malaysia sangat bimbang dengan hasrat Israel untuk mewujudkan apa yang dinamakan ‘zon selamat’ yang telah ditolak oleh PBB dan agensi kemanusiaan yang lain,” katanya.

Terdahulu rejim Zionis Israel mahu menempatkan kira-kira 2.2 juta pelarian dari utara Gaza di Al-Mawasi.

Bagaimanapun hasrat mereka dibantah oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Zambry dalam pada itu berkata, Majlis Keselamatan PBB mesti melaksanakan tanggungjawabnya dan mengambil segala langkah yang perlu bagi merealisasikan penyelesaian dua negara melibatkan Palestin dan Israel.

Menurut beliau, penyelesaian tersebut mendapat sokongan padu daripada masyarakat antarabangsa dan diiktiraf oleh pelbagai resolusi PBB.

“Kitaran keganasan terhadap rakyat Palestin yang berlaku sejak sekian lama mesti dihentikan. Mereka mesti dikeluarkan daripada situasi gelap ketika ini untuk masa depan yang lebih cerah.

“Terlalu banyak masa telah dibazirkan dan terlalu banyak nyawa yang tidak berdosa telah terkorban,” jelasnya.

Malah menurut beliau, Majlis Keselamatan PBB telah berulang kali mengecewakan rakyat Palestin dan kini tiba masanya untuk badan tersebut melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau menambah, Majlis Keselamatan PBB perlu memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar sehingga menyebabkan berlaku salah satu tragedi paling berdarah dalam sejarah dunia moden selama lebih tujuh dekad.

“Ini adalah mesej yang jelas, bukan sahaja daripada rakyat Malaysia, tetapi juga daripada seluruh warga dunia yang mencintai keamanan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles