Zikir Pelik Di Kubur: JAWI Sudah Serah Kertas Siasatan Kepada Jabatan Mufti

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) telah menerima kertas siasatan berkenaan aktiviti zikir yang didakwa mencurigakan di Tanah Perkuburan Islam di Setapak, baru-baru ini.

Terdahulu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selesai mengambil keterangan beberapa individu termasuk waris kubur dan juga saksi terlibat.

“Minggu lalu mereka (JAWI) telah menjalankan siasatan seperti diarahkan merangkumi dari sudut zikir yang dijalankan kumpulan itu dan juga keterangan daripada pihak yang hadir seperti waris kubur.

“Dua atau tiga hari lalu, JAWI juga telah menyerahkan laporan itu kepada Jabatan Mufti WP akan memberikan pandangan mereka berdasarkan laporan serta siastan dilakukan.

“Sekiranya zikir dijalankan itu bertentangan dengan akidah serta hukum maka JAWI akan menyediakan kertas untuk mendakwa yang akan dibuat di mahkamah syariah,” katanya di sidang media selepas Program Gema Syukur 2025 yang dihadiri lebih 10,000 orang di Masjid Putra hari ini.

Ditanya berapa ramai individu telah dipanggil bagi membantu siasatan, Mohd Na’im berkata, pihak penguatkuasa JAWI memanggil seramai yang mungkin bagi menjalankan siasatan tersebut.

“Jumlahnya saya tidak pasti tapi seramai yang mungkin boleh menjadi saksi bagi memastikan tidak ada kelompongan dalam siasatan dibuat yang akan diambil sepenuhnya nanti oleh Jabatan Pendakwaan,” jelasnya.

Baru-baru ini tular di media sosial adalah satu rakaman video berkaitan sekumpulan individu melakukan aktiviti mencurigakan di tanah perkuburan itu.

Sekumpulan individu itu didakwa berzikir dalam keadaan pelik di tanah perkuburan Islam di Danau Kota itu.

Sehubungan itu Mohd Na’im mengarahkan JAWI menjalankan siasatan terperinci terhadap aktiviti berkenaan, selain memohon semua pihak menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa agama serta menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

BBerkaitan

Latest articles