Zeti Dakwa Najib Tak Pernah Rujuk Derma Keluarga Diraja Arab Kepada BNM

KUALA LUMPUR: Derma keluarga diraja Arab yang diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM), demikian menurut bekas Gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Selaku saksi pendakwaan prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Zeti turut mendakwa tiga pucuk surat yang merujuk kepada derma itu hanya ditemui sewaktu serbuan BNM di AmBank pada 6 Julai 2015.

“Selain itu, dua surat yang dikatakan dikeluarkan kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan 1MDB, Ashok Ramamurthy berkaitan pembukaan akaun peribadi Najib timbul ketika siasatan BNM pada Julai 2015. Najib dan AmBank tidak pernah merujuk surat-surat ini kepada BNM.

“Dua keping surat yang kononnya dihantar kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Ashok Ramamurthy juga ditemukan dalam serbuan itu. Tetapi tidak ada rekod menunjukkan surat-surat bertarikh 21 September 2012 dan 30 April 2013 telah dihantar oleh AmBank atau diterima oleh BNM.

“Malah ini juga merupakan satu fakta yang telah disahkan melalui interaksi di antara Abd Rahman Abu Bakar dari BNM dan Tan Sri Azman Hashim daripada AmBank,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Zeti berkata demikian dalam sesi soal jawab pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Dalam keterangannya juga, Zeti berkata kod akaun bernama AmPrivate Banking – MR didapati telah ditutup dan tiga akaun yang dibuka pada 2013 juga ditutup ketika serbuan dilakukan.

Katanya, melalui surat kepada BNM bertarikh 20 Jun 2013, Najib meminta kelulusan FEA atau Pentadbiran Pertukaran Mata Wang Asing untuk menukar RM2.26 bilion yang terdapat dalam akaun semasa daripada ringgit Malaysia kepada kepada dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan memulangkan keseluruhan amaun itu.

“Najib telah mengisytiharkan dana itu sebagai derma dan hadiah peribadi. Ambil maklum surat itu, tiada kelulusan yang diperlukan di bawah peraturan FEA,” ujarnya.

Sementara itu, Zeti memberitahu, pada 28 Januari 2011, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang bertemunya untuk memaklumkan bekas Perdana Menteri itu akan membuka akaun dengan AmIslamic Bank.

Katanya, akaun terbabit akan dirujuk menggunakan kod khas dalam Sistem Pengurusan Ringgit Malaysia (ROMS) namun tiada perbincangan lanjut dan pertemuan dengan Tek Kuang adalah singkat.

“Tiada pada bila-bila masa, Tek Kuang memaklumkan bahawa terdapat derma akan dimasukkan ke dalam akaun tersebut, enam minggu lepas itu, beliau menghantar surat kepada Timbalan Gabenor, Nor Shamsiah Mohd. Yunus yang turut menyertakan salinan surat daripada Saud Abdulaziz Majid Al Saud bertarikh 1 Februari 2011 yang dialamatkan kepada Najib.

“Daripada itu tidak ada lagi maklumat tentang akaun Najib diberikan oleh AmBank. Tiada sebarang maklumat mengenai derma yang dimasukkan ke akaun Najib.

“Hanya satu surat berkaitan akaun Najib adalah surat bertarikh 12 Disember 2014 daripada AmBank melalui Ashok yang dialamatkan kepada Nor Shamsiah yang mendedahkan tiga akaun bernombor 2112022011880, 2112022011898, 2112022011906 dan terdapat 10 transaksi deposit membabitkan kira-kira RM4.3 juta,” ujarnya.

Menurut Zeti, bank pusat itu tidak melaksanakan pemantauan terhadap akaun peribadi.

BBerkaitan

Latest articles