Zamri Vinoth Mengaku Tak Salah Cetus Kegentaran Awam

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu hari ini mengaku tidak bersalah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa boleh mencetuskan kegentaran dalam kalangan orang awam.

Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya sekitar jam 9.20 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menimbulkan ketakutan awam sehingga mendorong orang ramai melakukan kesalahan yang boleh mengganggu ketenteraman.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah restoran di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 7 Februari lalu.

Susulan itu, beliau didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Zamri tiba di mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi dengan tangan bergari sambil diiringi anggota Polis Diraja Malaysia.

Turut kelihatan hadir memberi sokongan ialah beberapa anggota Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), termasuk pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung.

Sebelum memasuki mahkamah, Zamri sempat menyapa petugas media yang menunggu sejak awal pagi sambil mengucapkan salam dan berharap Malaysia terus kekal sebagai negara yang aman dan damai.

BBerkaitan

Latest articles