Zamri Vinoth, Haniff Khatri Antara Enam Ditahan Himpunan GARAH

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penahanan penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth bersama beberapa individu lain di sekitar kawasan pusat beli-belah Sogo, malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Zamri merupakan antara individu yang ditahan berhubung perhimpunan GARAH yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam.

“Saya mengesahkan penahanan Zamri Vinoth bersama beberapa penama lain. Perincian lanjut berhubung tindakan ini akan dimaklumkan esok,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Terdahulu, beberapa individu yang dipercayai peserta himpunan GARAH dilaporkan ditahan polis berhampiran Sogo. Difahamkan, kumpulan berkenaan cuba meneruskan perhimpunan meskipun telah dinasihatkan agar beredar oleh pihak berkuasa.

Keadaan menjadi tegang apabila terdapat individu yang didakwa cuba melakukan provokasi ketika dihampiri anggota polis, sekali gus mendorong kepada tindakan penahanan.

Semua individu yang ditahan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan lanjut.

Setakat ini, sekurang-kurangnya enam individu disahkan ditahan termasuk Zamri dan peguam, Haniff Khatri.

Pemantauan di lokasi sehingga jam 10 malam mendapati kawasan sekitar Sogo semakin lengang selepas polis menghalang orang awam daripada memasuki perkarangan pusat beli-belah itu.

Operasi perniagaan Sogo juga dilaporkan mula ditutup sekitar jam 9.30 malam.

BBerkaitan

Latest articles