Zambry Tarik Diri Dari Pencalonan Merebut Jawatan Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menarik diri dari pencalonannya untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan bulan depan. 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira tugas rasmi sebagai Menteri Luar.

Menurut Zambry, beliau sudah mengemukakan pencalonan bagi mempertahan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu. 

“Selepas berbincang dengan kepemimpinan parti, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi calon Naib Presiden UMNO bagi pemilihan kali ini.

“Ini dengan mengambil kira tugas rasmi saya sebagai Menteri Luar di dalam kerajaan baru ini, banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa” katanya.

Zambry berkata, sebagai Setiausaha Agung BN, beliau perlu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan itu dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada dan setinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat di bahagian-bahagian yang sudah menyatakan sokongan kepada saya sebelum ini,” katanya.

Pemilihan kali ini bakal menyaksikan tujuh pencalonan akan bersaing merebut jawatan nombor tiga tertinggi UMNO selepas Zambry mengumumkan untuk menarik diri daripada pencalonan.

Pencalonan itu termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khaled. 

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

BBerkaitan

Latest articles