KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan telah menerima surat perletakan peletakan jawatan Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Ahad lalu.
Zambry berkata, beliau menghormati keputusan itu dan akan mengadakan pertemuan dengan Mohd Ekhwan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung keputusannya itu.
“Beliau memohon untuk memberi tumpuan kepada hal-hal lain dan atas semangat itu saya menerimanya. Saya akan berjumpa dengan beliau nantu untuk maklumat lanjut.
“(Berhubung dakwaan wujud fitnah dan tohmahan kepada Mohd Ekhwan), perkara itu nanti saya akan lihat nanti. Namun untuk setakat ini saya boleh mengesahkan bahawa beliau telah pun menghantar surat kepada saya (berkenaan hal meletakkan jawatan),” katanya menurut Malaysiagazette.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Wadah dan Forum Pendidikan Tinggi antara Malaysia dan Uzbekistan Kali Pertama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.
Mengulas lanjut Zambry berkata, proses pelantikan Naib Canselor UKM yang baharu akan dibuat mengikut prosedur serta proses sedia ada.
“Beliau merupakan seorang naib canselor yang baik, dan dihormati oleh kawan-kawan beliau. Akan tapi oleh kerana kapasiti (keadaan), beliau menghantar surat (meletakkan jawatan) untuk memberikan tempuan (terhadap hal lain).
“Pada pihak kementerian kami mengucapkan terima kasih, dan beliau telah memberikan sumbangan yang baik kepada pembangunan universiti, serta kerjasama antara universiti yang beliau (telah) wujudkan selama ini,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan Mohd Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad.