Zambry Beri Jaminan Penstrukturan PTPTN Berteras Keihsanan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa langkah penstrukturan semula bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan menjejaskan kelayakan peminjam untuk mendapatkan pinjaman perumahan atau kemudahan kewangan lain.

Penegasan itu dibuat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, susulan kebimbangan dalam kalangan peminjam berhubung implikasi pelaksanaan langkah berkenaan.

Menurut beliau, pendekatan kerajaan dalam isu bayaran balik PTPTN sentiasa berteraskan konsep keihsanan, dengan mengambil kira kemampuan peminjam agar proses pembayaran tidak menjadi satu beban atau tekanan besar.

Tegasnya, penstrukturan semula bukan bertujuan menghukum peminjam yang berusaha membayar, sebaliknya memberi tumpuan kepada mereka yang langsung tidak mengambil sebarang inisiatif untuk melunaskan pinjaman.

“Tidak benar dakwaan bahawa penstrukturan semula ini akan menjejaskan peminjam. Kerajaan sentiasa mengutamakan keihsanan dalam setiap tindakan. Apa yang kita ambil tindakan adalah terhadap mereka yang tidak pernah langsung membuat sebarang bayaran atau usaha,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kembali ke Sekolah di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, pada Ahad.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Pada majlis itu, Zambry menyampaikan sumbangan kelengkapan asas sekolah kepada 900 penerima daripada keseluruhan 1,350 penerima di Parlimen Lumut, menerusi inisiatif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300,000.

Mengulas lanjut, Zambry berkata pendekatan keihsanan kerajaan turut dizahirkan melalui pelaksanaan Program Siswa Sulung (SULUNG), yang menawarkan tajaan pengajian secara percuma kepada pelajar generasi pertama dalam keluarga yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa PTPTN sentiasa membuka ruang rundingan kepada peminjam yang berdepan kesukaran kewangan untuk berbincang mengenai penstrukturan semula bayaran balik berdasarkan kemampuan masing-masing.

Katanya, masalah timbul apabila ada peminjam yang langsung tidak tampil memaklumkan situasi sebenar mereka kepada pihak PTPTN.

“Kita sudah berkali-kali menyatakan bahawa mereka yang mempunyai masalah boleh datang berbincang. Tujuannya supaya bayaran balik boleh disesuaikan dengan kemampuan dan keadaan semasa mereka. Namun, isu timbul apabila ada yang tidak pernah pun datang berunding,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan skim SSPN terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila jumlah deposit terkumpul kini mencecah RM22 bilion.

Menurutnya, peningkatan itu mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa tentang kepentingan menabung demi masa depan pendidikan anak-anak.

“Menabung tidak memerlukan jumlah yang besar. Dengan minimum serendah RM20, ibu bapa sudah boleh mula menyimpan, sama ada secara harian atau bulanan, bergantung kepada kemampuan masing-masing,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles