Zaliha Laksana Inisiatif Pemberian Tuala Wanita, Bermula Di KKM

KUALA LUMPUR: Dalam usaha menangani kemiskinan haid dalam negara,
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan program pemberian tuala wanita secara percuma.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata program berkenaan akan dimulakan di Pejabat Menteri KKM sebelum diperluaskan ke kementerian-kementerian lain dan agensi yang berkaitan.

“Saya nak buat memulakan inisiatif yang telah mendapat sambutan global dan ada juga polisi berkaitan dengannya berkaitan program yang dinamakan kemiskinan haid.

“Saya sebagai Menteri Kesihatan Wanita pertama rasa elok kita lakukan di KKM, saya akan mulakan pemberian tuala wanita di tandas pejabat menteri,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan KKM.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Zaliha menjelaskan, isu kemiskinan haid ini perlu dimasukkan dalam polisi KKM agar dasarnya dapat dilaksanakan sekaligus membantu kaum wanita yang tidak mampu.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk meningkatkan perihal kemiskinan haid ini ke peringkat lebih kukuh dan polisi sebab selama ini di bawah saja dan ia hanya menerusi program-program kecil-kecilan,” tambah beliau.

Menganggap inisiatif ini sebagai permulaan, Zaliha tidak menolak untuk mencadangkan agar peruntukan pemberian tuala percuma dimasukkan dalam Bajet 2023.

Dalam Bajet 2022 kerajaan terdahulu mengedarkan kit asas kebersihan diri antara lain mengandungi tuala wanita untuk diedarkan kepada 130,000 remaja wanita dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Boleh, kita lihat mana kita boleh tingkatkan dan tambah baik inisiatif berkaitan ini dan ia akan menjadi permulaan ke peringkat nasional,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles