KUALA LUMPUR: Arahan polis untuk Zahnita Hussein Wilson menjalankan ujian saringan air kencing adalah kerana wujud laporan berkaitan dadah membabitkan bekas pelakon dan peragawati terkenal.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, ujian berkenaan juga tiada kaitan dengan permohonan Zahnita untuk mendapatkan khidmat pengiring polis seperti yang didakwa sebelum ini.
“Ujian urin dibuat bukan disebabkan dia minta bantuan polis untuk mengiring bagi melaksanakan perintah interim hak penjagaan anak sebaliknya ada laporan dibuat terhadapnya berkaitan dadah.
“Jadi polis perlu melakukan ujian air kencing ke atasnya bagi mengesahkan aduan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas operasi pemotongan bekalan elektrik premis perjudian di sekitar Kuantan, hari ini.
Wan Mohd. Zahari turut menjelaskan, pihak polis memberi bantuan pengiring bagi tujuan keselamatan dan mengelak berlaku pergaduhan.
“Dia datang ke balai untuk bantuan iringan keselamatan dan pada masa tersebut sudah ada laporan ke atasnya,” tambah beliau.
Dua hari lalu Zahnita mendakwa terpaksa menjalani ujian air kencing sebelum berjaya mendapatkan hak jagaan dua anak perempuannya.
Wanita itu mengakui berdepan detik mencemaskan ketika diminta untuk melakukan ujian berkenaan susulan ada dakwaan mengatakannya terlibat menggunakan bahan terlarang.
Bagaimanapun Zahnita akur untuk melalui prosedur itu demi membolehkan mendapat hak jagaan anak perempuannya, Zasharayna Ghouse, 12, dan Zahlia Syaw, 7, selepas dibenarkan mahkamah dan membuat permohonan bantuan polis pengiring di Ibupejabat Polis Daerah Kuantan.
”Alhamdulillah, Allah Maha Besar, keputusan urin negatif, saya dapat hak jagaan terhadap dua anak perempuan,” katanya.
Zahnita dilaporkan lega selepas berjaya memperoleh perintah sementara hak penjagaan anak-anaknya daripada suaminya, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor.