KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan pendirian untuk tidak mengulangi pengalaman pahit lalu dalam menjalin sebarang bentuk kerjasama politik dengan parti pembangkang ketika ini, susulan pengkhianatan yang pernah dialami sebelum ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak mahu terperangkap dengan janji atau kerjasama yang akhirnya membawa kerugian kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, sebarang cadangan kerjasama perlu diperhalusi dengan teliti bagi mengelakkan kesilapan yang sama berulang.
“Kita tidak mahu kembali bernostalgia dengan nama atau cadangan lama yang pernah dibincangkan sebelum ini. Semua ini perlu diteliti secara mendalam kerana UMNO tidak mahu ‘dipatuk ular yang sama’ buat kali kedua di tempat yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena Amanat Tahun Baharu di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.
Kenyataan itu hadir susulan gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mencadangkan agar Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula, susulan perkembangan politik semasa termasuk isu di Perlis.
Cadangan itu turut mendapat reaksi positif daripada Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan MN sebagai kunci penyatuan dan kebangkitan semula perpaduan ummah.
Untuk rekod, UMNO dan Pas pernah menjalin kerjasama menerusi Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan perpecahan undi Melayu serta kebimbangan terhadap hala tuju politik Melayu-Islam ketika itu.










