Kesemua pemimpin parti-parti politik, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengadakan pertemuan pada 23 Februari telah bersetuju untuk mewujudkan kerajaan perpaduan tanpa penglibatan DAP, PKR dan Amanah, sekaligus meninggalkan Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu dinyatakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan menegaskan kesemua pemimpin di dalam gambar yang tular di media sosial itu telah mencapai ‘titik persamaan persetujuan’ dalam hal berkenaan.
Namun, Dr Mahathir menggagalkan rancangan tersebut dengan mahukan penglibatan DAP di dalam senarai kabinet yang baru.
“Gambar yang tular di media sosial adalah perjumpaan oleh presiden parti-parti politik untuk mencadangkan agar Tun M (Mahathir) mewujudkan kerajaan perpaduan tanpa DAP, PKR (Anwar Ibrahim) dan Amanah.
“Itulah titik persamaan persetujuan bagi memulakan perbincangan.
“Namun sokongan ditarik balik apabila Tun M pada Selasa mencadangkan kerajaan perpaduan semua parti yang melanggar persetujuan awal,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Gambar yang tular di media sosial adalah perjumpaan oleh Presiden parti2 politik untuk mencadangkan agar Tun M…
Posted by Zahid Hamidi on Sunday, May 31, 2020
Komen tersebut menyusul sebagai reaksi terhadap screenshot pegawai Dr Mahathir semalam yang mendakwa beliau membawa dokumen bersamanya, bagaimanapun dibalas bekas perdana menteri itu supaya membawa dokumen berkenaan ke mahkamah.
Tegas Zahid, setiap presiden parti membawa akaun bersumpah (SD) dan bukan dokumen mahkamah sebagaimana yang didakwa.
“Hanya mereka yang tidak mahu berfikir akan percaya fitnah-fitnah itu. Adakah dalam perjumpaan seramai itu akan dibincang hal peribadi sedangkan isu utama adalah mengenai perubahan kerajaan?,” soal Zahid.
Beberapa pemimpin politik memberi reaksi terhadap gambar yang tular sejak dua hari lalu dengan menegaskan bahawa Dr Mahathir menyokong usaha supaya Bersatu keluar dari PH dan bekerjasama dengan Umno, PAS, MCA dan MIC serta beberapa parti lain untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Selepas pertemuan berkenaan yang dikatakan berjaya mencapai kesepakatan, Dr Mahathir bagaimanapun mengambil pendirian sebaliknya ketika ketua-ketua parti politik menemui Yang di-Pertuan Agong (YDPA).