REMBAU: Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata BN sudah membuat keputusan bahawa calon Perdana Menteri BN ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru itu, beliau berkata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak akan menjadi Perdana Menteri, sekiranya BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun, katanya pelantikan Perdana Menteri terletak kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“Jangan diragukan lagi (tentang pemilihan Perdana Menteri jika BN menang) tapi terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Kita hanya boleh mencadangkan saja.
“Seperti di Johor, kita mencadangkan nama Datuk Seri Hasni Mohammad kekal sebagai Menteri Besar, tetapi Sultan Johor mahukan orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kundur dekat sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga calon BN bagi Parlimen Rembau itu berkata, Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak henti-henti memainkan isu berkenaan kerana mereka sudah tiada modal lain untuk mengelirukan rakyat.
Katanya, parti itu suka menghasut rakyat bahawa dengan cerita BN akan melepaskan pemimpin tertentu daripada pendakwaan sekiranya BN menjadi kerajaan.
“Semasa 60 tahun BN mentadbir negara, berapa banyak pemimpin kita yang masuk penjara? Begitu juga ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pun kita tidak campur tangan kes Datuk Seri Najib (Razak).
“Tapi sebaik saja PH memerintah negara, mereka lantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan kerja pertama dilakukan ialah melepaskan Lim Guan Eng walaupun kes beliau ketika itu sedang didakwa.
“Ada juga pemimpin mereka yang dikenakan hukuman penjara 18 bulan tetapi ditukar kepada berkelakuan baik 20 bulan,” katanya.
Mohamad menyifatkan, rakyat sudah membuat keputusan parti mana yang akan mereka undi pada PRU15 ini, walaupun masih tinggal dua hari lagi tempoh berkempen.
“Rakyat sudah meluat dengan keadaan yang berlaku pada negara selepas PRU14,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri turut menegaskan bahawa Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO tidak akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya BN menang PRU-15.
Perkara itu katanya telah diputuskan secara tuntas dalam UMNO termasuk di peringkat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ataupun Majlis Kerja Tertinggi (MT) dulu.