Zahid Rayu PAS Untuk Kembali Pertahankan Muafakat Nasional

 

Presiden UMNO berharap Pas berfikirlah sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan Muafakat Nasional (MN) yang asli.

“Belajarlah daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang semuanya gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan genuine,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Facebooknya hari ini.

Dalam hantarannya, beliau juga menyelitkan laporan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan muafakat politik Pas dan UMNO dijangka boleh memberikan kemenangan kepada gabungan itu dengan lebih 132 kerusi Parlimen pada PRU15.

Apa pun, menurut Ahmad Zahid, UMNO serius dalam memperkukuhkan MN yang ditubuhkan pada tahun 2019.

“Jika kita toleh sejenak ke belakang kita tidak akan terlupa betapa bukan mudah menyatukan ummah di bawah gagasan MN ketika itu.

“Namun syukur allhamdulillah pemeteraian Piagam Muafakat Nasional yang tulen berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 14 September 2019

“Pelbagai kejayaan dilakar MN sejak itu. Kemenangan banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) dan bersama memperjuangkan kepentingan rakyat,” ujarnya.

Momentum keyakinan rakyat pelbagai bangsa dan agama sangat positif terhadap apa yang boleh ditawarkan oleh MN yang sebenar, katanya.

“Mereka percaya kepada MN yang itu, bukan yang ini. Kerana sinergi yang terbentuk antara UMNO dan rakan partinya dalam sebuah gabungan penuh tulus ikhlas,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Zahid tidak memperincikan mana satu gabungan MN yang asli atau mana yang tidak dalam kenyataannya.- MalaysiaGazette

Latest articles

Related articles

spot_img