Zahid Pertahan Dr Akmal, Idealisme Pemuda UMNO Bukan Alasan Letak Jawatan

PUTRAJAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak seharusnya meletakkan jawatan meskipun berdepan kritikan dan desakan pelbagai pihak.

Beliau menegaskan, perbezaan pandangan merupakan perkara lumrah dalam dunia politik dan tidak wajar ditangani dengan tindakan drastik seperti pengunduran diri, sebaliknya perlu dihadapi secara matang dan berfakta.

“Dalam politik, tidak semua orang akan bersetuju dengan kita. Kalau ada yang tidak setuju, tangani perbezaan itu dengan kejelasan, bukan dengan langkah lain. Ini perjuangan politik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), hari ini.

Ahmad Zahid berkata, setiap pemimpin sayap pemuda, tanpa mengira parti, perlu memiliki idealisme tersendiri sebagai sebahagian daripada perjuangan politik, walaupun tidak semua pandangan itu diterima pucuk pimpinan.

Menurut beliau, idealisme tersebut tetap wajar dipertahankan, di samping kebijaksanaan menyantuni perbezaan pendapat dan realiti politik semasa.

Mengulas bayangan Dr Akmal untuk berundur seperti dimuat naik di laman Facebooknya semalam, Ahmad Zahid menasihatkan agar Ketua Pemuda UMNO itu tidak mudah berputus asa walaupun pandangan beliau menerima reaksi berbeza.

Terdahulu, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Dr Akmal meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri serta menunaikan pendiriannya untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid turut mengakui beliau sendiri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan berdepan perbezaan pandangan sepanjang tempoh tersebut.

“Perbezaan pendapat atau kritikan perlu diterima sebagai adabul ikhtilaf. Kalau kita biasa mengkritik orang, kita juga perlu bersedia menerima kritikan,” katanya.

Beliau menambah, pengalaman jatuh bangun dalam politik seharusnya menjadi kekuatan untuk bangkit semula, bukannya alasan untuk mengalah.

“Saya sendiri pernah tersungkur, tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh bangun semula,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles