Zahid Perjelas Isu DAP, Bukan Kerjasama Parti Ke Parti, Tapi BN–PH

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tampil menjelaskan kekeliruan berhubung hubungan UMNO dengan DAP dengan menegaskan bahawa tiada sebarang kerjasama secara langsung antara kedua-dua parti itu.

Sebaliknya, beliau berkata, kerjasama politik yang terjalin ketika ini adalah atas dasar gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), bukan hubungan satu parti dengan parti lain.

Penegasan itu dibuat sebagai reaksi terhadap gesaan MCA supaya parti-parti komponen BN tidak meneruskan sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Menurut Ahmad Zahid, kedudukan MCA sebagai parti komponen BN dan DAP sebagai sebahagian daripada PH menjelaskan bahawa asas kerjasama kerajaan perpaduan hari ini adalah antara gabungan, bukannya parti secara individu.

“Isu ini perlu dilihat secara matang. Kerjasama yang wujud boleh dibincangkan dan diselesaikan melalui rundingan serta kesefahaman di peringkat kepimpinan tertinggi gabungan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri lawatan rasmi di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menegaskan bahawa fokus utama ketika ini adalah pertimbangan rasional politik, khususnya berkaitan masa sesuai untuk Pilihan Raya Umum diadakan.

Katanya, sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama pilihan raya akan ditentukan bersama oleh pimpinan BN dan PH.

Pada 7 Disember lalu, Perhimpunan Agung MCA meluluskan resolusi menolak sebarang kerjasama dengan DAP pada PRU-16.

Perwakilan MCA turut bersetuju agar parti itu menentukan haluan sendiri sekiranya ada komponen BN yang tetap mahu bekerjasama dengan DAP, dengan alasan semangat BN didakwa semakin terhakis.

Sebelum ini, Ahmad Zahid pernah menyatakan bahawa BN cenderung meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU-16 walaupun terdapat pandangan supaya gabungan itu bergerak secara solo.

Untuk rekod, BN memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan selepas PRU 2022, yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri berikutan keputusan Parlimen tergantung.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi parti komponen BN, MIC, turut dilaporkan masih menilai kedudukannya dalam gabungan itu dan pernah mendapatkan penjelasan daripada Perikatan Nasional berhubung kemungkinan kerjasama politik.

BBerkaitan

Latest articles