PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan parti itu telah membincangkan kemungkinan bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin kembali menyertai UMNO dalam masa terdekat.
Menurut Zahid, pertemuannya dengan Khairy baru-baru ini hanyalah secara kebetulan di sebuah majlis perkahwinan dan tidak melibatkan sebarang perbincangan berkaitan politik atau penyertaan semula bekas Menteri Kesihatan itu.
“Setakat ini belum ada apa-apa perbincangan. Saya cuma bertemu beliau di majlis perkahwinan dan kami tidak bincang langsung tentang hal parti,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Kenyataan itu sekali gus menepis spekulasi bahawa UMNO sudah membuka pintu kepada Khairy untuk kembali, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.
Sebelum ini, Khairy yang kini bertugas sebagai penyampai radio meminta tempoh beberapa minggu sebelum memberi jawapan muktamad mengenai hasratnya menyertai semula UMNO, susulan desas-desus kononnya beliau sudah mendapat restu kepimpinan tertinggi parti.
Khairy juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan UMNO secara sukarela, sebaliknya dipecat pada Januari 2023 kerana kelantangannya mengkritik pimpinan parti ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Difahamkan, khabar angin mengenai kepulangannya ke UMNO mula bertiup selepas Khairy dilihat bertemu Zahid dalam satu majlis resepsi anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman baru-baru ini.
Khairy sebelum ini pernah menyandang jawatan Ahli Parlimen Rembau dan Ketua Pemuda UMNO, serta bertanding di kerusi Sungai Buloh pada PRU15 namun tewas kepada calon Pakatan Harapan.










