KUALA LUMPUR: Prinsip UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menolak PKR, DAP dan Bersatu tidak lagi terpakai selepas pilihan raya.
Itu kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan menambah kerjasama stategik BN dengan Pakatan Harapan (PH) di Pahang dan Perak tidak mengabaikan prinsip UMNO.
“Perlu difahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia adalah untuk berdepan pada PRU15 dan bukannya untuk pasca pilihan raya.
“Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” kiasnya.
Kerjasama antara BN dan PH tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhannya iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO tegas mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap sederhana, sentrik dan progresif dalam menangani perubahan.
Begitu juga dengan pelantikan Menteri Besar Perak dan Pahang daripada BN merupakan mercu landskap politik baharu.
Kerjasama BN dan PH membentuk kerajaan di kedua-dua negeri itu berdasarkan prinsip membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan untuk diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan.
“Kesan suasana ekonomi dunia yang mencabar perlu ditangani dengan lebih baik di peringkat tempatan agar tidak memberikan kesan berterusan kepada negeri dan negara,” kata Ahmad Zahid.
Menurutnya, kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri.
Kerjasama PH dan BN akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus terhadap pembangunan dapat diteruskan.
Tambah beliau, kerjasama di Perak dan Pahang serta pembentukan Kerajaan Perpaduan selaras diilhamkan oleh Yang di-pertuan Agong.