Zahid Kata BN Hormati Keputusan MIC, Namun Harap Kekal Bersama

HUTAN MELINTANG: Barisan Nasional (BN) menegaskan pendirian untuk menghormati sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh parti gabungan, termasuk parti teras seperti MIC, meskipun ia melibatkan langkah besar sama ada kekal bersama BN atau sebaliknya.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak akan mencampuri urusan dalaman mana-mana parti komponen, namun beliau secara peribadi berharap MIC terus kekal dalam gabungan berkenaan demi kestabilan dan kekuatan BN.

Menurut beliau, kemasukan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) ke dalam BN seperti diumumkan minggu lalu dilihat sebagai perkembangan positif yang mampu memperkukuh gabungan itu, yang kini dianggotai lima parti teras.

“Pendirian BN jelas, setiap parti gabungan perlu saling menghormati. Apa jua keputusan yang akan dibuat MIC adalah hak parti berkenaan.

“Namun dengan kehadiran lima parti teras dalam BN ketika ini termasuk PPP, serta MIC yang sudah lama menjadi tonggak sejak era Parti Perikatan bersama UMNO dan MCA, kita berharap kekuatan ini dapat terus diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Industri QL Innofood Park di Hutan Melintang, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Eksekutif QL Resources Bhd, Dr Chia Song Kun.

Mengulas laporan bahawa MIC bakal mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan penyertaan rasmi parti itu ke dalam Perikatan Nasional (PN), Ahmad Zahid menjelaskan beliau tidak menghubungi Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berhubung perkara tersebut.

Katanya, Vigneswaran serta wakil MIC juga tidak menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu pada 21 Januari lalu kerana berada di luar negara.

“Dalam mesyuarat itu, MIC tidak diwakili, namun parti lain hadir sama ada diwakili presiden atau timbalan presiden masing-masing.

“Oleh itu, BN memilih untuk tidak campur tangan dan yakin MIC akan membuat keputusan terbaik, bukan sahaja untuk parti mereka tetapi juga demi kepentingan gabungan BN secara keseluruhan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles