Zahid Hamidi: “Yang Keluar Sekejap, Keluar Selamanya Pun Tak Mengapa”

KUALA LUMPUR: UMNO menilai kualiti parti dan ahli-ahlinya supaya penyatuan di peringkat akar umbi dapat diperkemaskan, tegas Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga menegaskan bahawa individu yang telah meninggalkan parti tidak perlu kembali, sementara ahli yang masih setia harus menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan.

Bercakap dalam program podcast TV3, Timbalan Perdana Menteri itu menekankan bahawa jumlah keahlian yang besar tidak bermakna jika parti berpecah dan tidak bersatu.

“UMNO kini hanya mempunyai 26 kerusi. Keadaan ini tidak menghairankan jika ahli sendiri berpecah. Matlamat utama saya sekarang adalah menyatukan kembali akar umbi.

“Mereka yang telah keluar parti, silakan terus berada di luar. Yang keluar sekejap, keluar selamanya pun tidak mengapa. Jika ada ‘gunting dalam lipatan’ atau ‘kaduk naik junjung’, orang seperti ini tidak diperlukan,” katanya.

“Biarlah sedikit, asalkan setia. Kita tidak mahu menjadi buih di lautan,” tambahnya.

Walaupun tidak menamakan sesiapa secara langsung, kenyataan Zahid dilihat ditujukan kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang terkenal dengan program podcastnya “Keluar Sekejap”, dikendalikan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Khairy merupakan antara pemimpin UMNO yang dipecat pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Zahid yang mengambil alih kepimpinan UMNO daripada Datuk Seri Najib Razak selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, menegaskan bahawa semua keputusan parti dibuat secara bersama.

“Saya bukan diktator atau pemimpin kuku besi. Setiap keputusan dibuat melalui perbincangan dan strategi bagi memastikan UMNO kembali dominan,” katanya.

Beliau sebelum ini berjaya mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti penggal 2018-2021 selepas menewaskan Khairy dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

BBerkaitan

Latest articles