Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikecam sebagai ‘kurang sifat kepimpinan’ setelah tiada seorang pun menteri atau timbalan menteri meletakkan jawatan setelah parti itu memutuskan hubungan dengan BERSATU.
Kritikan yang datang daripada Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz menambah stail kepimpinan Zahid sendiri menyebabkan UMNO semakin lemah.
Dalam masa yang sama Nazri mempersoalkan Zahid apakah beliau sendiri bimbang akan arahannya tidak akan dipersetujui dan diikuti oleh menteri dan timbalan menteri dari parti berkenaan.
“Sudah terang-terang menteri UMNO dan timbalan menteri tak ingin letak jawatan dengan alasan mereka akan berbuat demikian jika diarahkan parti.
“Sudah jelas mereka sepatutnya letak jawatan tetapi presiden tidak ada kepemimpinan untuk mengarahkan mereka berbuat demikian.
“Adakah beliau bimbang mereka tidak mahu ikut arahan beliau?” soal Nazri.
Nazri, sebelum ini turut mencabar kesemua menteri dan timbalan menteri UMNO yang dilantik untuk meletakkan jawatan susulan resolusi yang dicapai UMNO menerusi perhimpunan agungnya, minggu lalu.
Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataannya memberitahu bahawa kesemua menteri dna timbalan menteri UMNO kekal di dalam kerajaan, setelah kesemua mereka mengadakan perjumpaan pada petang Isnin lalu.
Susulan perkembangan berkenaan, Nazri mendakwa rakan-rakan partinya yang dilantik di dalam kerajaan sebagai ‘pengecut’ dan hanya mendapatkan talian hayat daripada Muhyiddin untuk kekal di dalam kerajaan.
Dakwanya lagi, negara tidak memerlukan barisan kabinet untuk mentadbir negara ketika dalam keadaan darurat.
Sementara itu, Nazri turut mengingatkan Zahid berkenaan prinsip akauntabiliti moral dan ‘membuat perkara yang betul’.
“Beliau mungkin dipilih melalui demokrasi, tetapi ada juga akauntabiliti moral. Sekiranya kamu didakwa di mahkamah, kamu mesti melakukan apa yang terbaik bagi parti,” katanya lagi.