KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau pernah bertemu pemimpin PAS, Bersatu dan beberapa tokoh politik Melayu bagi membincangkan idea penyatuan orang Melayu, namun menegaskan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Menurutnya, usaha itu dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 supaya diformalisasikan sebagai pendirian rasmi parti.
Zahid menegaskan gerakan penyatuan Melayu tidak bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan atau mengancam kaum lain, sebaliknya fokus kepada kerjasama agenda Melayu.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah dimaklumkan dan memahami matlamat inisiatif tersebut.
“Isu penyatuan Melayu sering dibangkitkan dalam perhimpunan parti-parti politik. UMNO ambil langkah proaktif dengan membawa usul ini kepada perwakilan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menolak penyatuan itu dihidupkan semula melalui Muafakat Nasional kerana nama tersebut kini didaftarkan sebagai NGO.
Mengulas cadangan Payung Besar Melayu, Zahid menegaskan inisiatif itu tidak melibatkan UMNO.










