KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan telah menerima sebarang surat rayuan daripada Khairy Jamaluddin yang dipecat keahliannya sejak Januari 2023.
Menurutnya, sehingga kini tidak ada sebarang dokumen rasmi yang sampai ke tangannya.
“Belum, saya belum terima lagi,” jawab beliau ringkas ketika ditemui selepas menghadiri Dialog Tertutup Belanjawan 2026 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari, hari ini.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa Khairy telah menyerahkan surat rayuan melalui seorang pegawainya.
Namun, perkara tersebut belum disahkan secara rasmi oleh pucuk pimpinan parti.
Khairy yang pernah memegang jawatan Ahli Parlimen Rembau dan Menteri Kesihatan, dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti.
Beberapa bulan lalu, Khairy memberi bayangan sedia mempertimbangkan cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, yang mahu menjadi penghubung bagi memudahkan proses membawa semula bekas pemimpin UMNO seperti beliau, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan kembali ke pangkuan parti.