Zahid Akan Buat Pembersihan Besar-Besaran Dalam UMNO

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Presiden UMNO itu berkata, perkara tersebut akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), esok.

“Tunggulah apabila MKT bermesyuarat, untuk dia (Khairy Jamaluddin) secara individu tidak penting. Saya kata dalam Perhimpunan Agung (UMNO) baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran, termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada pilihan raya umum lalu dan mungkin termasuk orang yang `menembak kaki sendiri’ ketika pilihan raya diadakan.

“Bila besar-besaran itu maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa, insya-Allah esok malam akan terasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama EXCO Luar Bandar (MEXCLUB), di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat MKT esok akan menentukan nasib Khairy yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO.

Ahmad Zahid bagaimanapun tidak mendedahkan senarai nama tersebut dan meminta menunggu sehingga esok.

“Tidak boleh beritahu awal, kalau strategi dikongsi dengan wartawan, tidak lagi jadi strategi, saya harus embargo maklumat itu sehingga waktunya,” katanya.

Difahamkan mesyuarat MKT UMNO esok turut akan menentukan status keahlian Khairy, yang juga bekas Menteri Kesihatan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini secara terbuka ‘mengkritik’ beberapa pemimpin UMNO, selain lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.

Latest articles

Related articles

spot_img