NAIROBI — YTL Group kini meneroka peluang pelaburan dalam sektor penjana tenaga bebas (IPP), pusat data dan kecerdasan buatan (AI) di Afrika Selatan, kata Pengarah Eksekutif YTL Power International Bhd, Yeoh Keong Hann.
Menurutnya, YTL menjangkakan untuk mewujudkan operasi di negara itu dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang, sejajar dengan strategi pengembangan global syarikat.
“Ini adalah bidang yang memerlukan usaha dipertingkatkan dan penyelidikan lanjut. Kami sedang menilai pendekatan terbaik untuk memasuki pasaran Afrika Selatan,” katanya ketika ditemui media Malaysia di Nairobi.
Yeoh menegaskan bahawa tenaga dan air merupakan asas kepada operasi pusat data serta aplikasi AI, menjadikan kedua-dua elemen itu kritikal bagi mana-mana negara yang ingin membangunkan infrastruktur digital berimpak tinggi.
“Selain tenaga, YTL mempunyai kepakaran dalam perkhidmatan air. Afrika Selatan menyatakan minat untuk kami membawa kepakaran ini ke negara mereka,” katanya.
YTL memiliki Wessex Water di United Kingdom, salah satu syarikat utiliti air terkemuka di negara itu.
“Kami berbincang mengenai kemungkinan menawarkan penyelesaian menyeluruh — bukan sekadar membina pusat data tunggal atau menyediakan satu model bahasa besar, tetapi membangunkan ekosistem lengkap yang boleh menyokong keperluan digital Afrika Selatan,” ujar Yeoh.
Beliau berada di Afrika Selatan sebagai sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam siri lawatan ke tiga negara Afrika iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.
YTL merupakan antara syarikat yang dijemput khusus oleh Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, ke Sidang G20 susulan pertemuan beliau dengan delegasi YTL di luar Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Mengulas pertemuan itu, Yeoh berkata: “Sangat menggembirakan berada di Afrika Selatan bersama perdana menteri dan delegasi perniagaan. Semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, kami berkesempatan bertemu Presiden Ramaphosa, yang kagum dengan kedudukan Malaysia sebagai hab AI global serta kemajuan model bahasa tempatan, Ilmu.”
ILMU, model bahasa multimodal buatan Malaysia, dibangunkan dengan data tempatan bagi memahami budaya, konteks dan realiti harian rakyat Malaysia.
“Saya yakin Presiden Ramaphosa ingin melihat bagaimana teknologi ini boleh dibawa ke Afrika Selatan dan ke rantau Selatan Global yang lebih luas,” kata Yeoh.
Beliau menambah, ILMU juga mampu memahami nuansa tempatan termasuk penggunaan ‘Manglish’ (campuran Melayu-Inggeris), dan boleh disesuaikan dengan bahasa atau dialek di Afrika.
“Mereka berminat untuk melihat bagaimana kami boleh menyesuaikannya, contohnya AI yang boleh bertutur dalam bahasa Zulu atau gabungan Zulu-Inggeris. Kami turut memperkenalkan Ryt Bank, bank pertama di dunia berasaskan AI sepenuhnya, dan mereka amat teruja kerana ia merupakan inovasi 100 peratus Malaysia,” katanya.
Secara keseluruhan, Yeoh berkata lawatan ke Afrika Selatan ini membuka peluang besar kepada YTL dan syarikat-syarikat Malaysia untuk memperluaskan operasi ke pasaran baharu yang berpotensi tinggi.










