KUALA LUMPUR: Inisiatif berterusan YTL dalam mengangkat Malaysia sebagai hab Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat global diterjemahkan melalui model barunya yang dinamakan sebagai ILMU 0.1.
Pembangunan ILMU 0.1 yang digerakkan oleh YTL AI Labs adalah satu model bahasa berskala besar milik Malaysia, dibangunkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia.
Menariknya ILMU 0.1 berjaya lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi subjek Bahasa Melayu dengan gred A ujar Pengarah Urusan YTL Pei Lou Yeoh, yang berucap dalam Majlis Perasmian Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Kuala Lumpur hari ini.
Program yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menandakan langkah besar Malaysia dalam mendepani transformasi digital dan pengembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dalam pada itu, Menurut Pei Lou lagi, Model baru ini juga berjaya mengatasi semua model bahasa berskala besar di dunia dalam Bahasa Melayu serta konteks budaya dan tempatan Malaysia.
ILMU 0.1 berpangkalan di sebuah pusat data hijau 500 megawatt di Johor, dengan pelaburan bernilai RM20 bilion, bersedia dengan kerjasama strategik dengan NVIDIA untuk membawa cip GB200 Grace Blackwell yang terkini, iaitu superkomputer terpantas di dunia.