YTL Lancar “Beyond 70”, Legasi Berterusan Lepasi 7 Dekad

KUALA LUMPUR: YTL Group melancarkan inisiatif “Beyond 70”, menandakan ulang tahun ke-70 syarikat konglomerat itu dengan tekad untuk membina legasi yang lebih kukuh dan mampan bagi generasi seterusnya.

Pengerusi Eksekutif YTL, Tan Sri (Sir) Francis Yeoh, berkata meskipun YTL kini berkembang menjadi syarikat bertaraf global dengan lebih 16,000 kakitangan di 11 negara, kejayaan sebenar bukan hanya diukur pada saiz, tetapi juga pada nilai dan tujuan.

“Matlamat saya bukan sekadar membina syarikat berjaya, tetapi meninggalkan satu warisan yang berdaya tahan, supaya ia terus berkembang selepas kita tiada,” katanya dalam satu majlis syarikat itu di JW Marriott Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menekankan peralihan penting yang sedang berlaku dalam syarikat, apabila kepimpinan harian mula diambil alih oleh generasi baharu, sejajar dengan pendekatan jangka panjang YTL dalam memastikan kelangsungan.

“Kepimpinan pengasas, termasuk saya, masih menetapkan hala tuju strategik. Tetapi secara sengaja, kita mula menyerahkan amanah kepada generasi seterusnya. Ini penting dan perlu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan generasi muda YTL agar melihat tujuan hidup dan kerjaya mereka melebihi pencapaian material.

Francis Yeoh turut menggariskan pencapaian terbaru YTL termasukdinobat sebagai Konglomerat Malaysia Paling Cekap Urus Tadbir oleh FinanceAsia; tersenarai Top 50 Fortune 500 Asia Tenggara dan peningkatan skor FTSE4Good untuk YTL Corp, YTL Power serta YTL Hospitality REIT, menunjukkan kemajuan dalam tadbir urus korporat dan kelestarian.

Namun katanya, kejayaan ini bukan hanya untuk dibangga, tetapi perlu diterima dengan rendah hati.

“Kita bukan pemilik, kita hanya pemegang amanah. Apa yang kita bina hari ini bukan sekadar untuk keuntungan, tetapi untuk generasi akan datang,” katanya, sambil mengingatkan hadirin bahawa pada akhirnya, “kita datang tanpa apa-apa, dan kita juga akan pergi tanpa apa-apa.”

Beliau kemudiannya mengajak semua warga kerja YTL supaya terus melangkah dengan visi yang jelas, penuh kesyukuran, dan sentiasa mengutamakan integriti.

BBerkaitan

Latest articles