YTL Corp, YTL Power, Malayan Cement Catat Untung Bersih Lebih Tinggi Pada S1 TK2026

KUALA LUMPUR, — Keuntungan bersih YTL Corporation Bhd (YTL Corp) meningkat kepada RM346.48 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir 30 Sept 2025 (S1 TK2026), berbanding RM333.71 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata prestasi tersebut disokong terutamanya oleh sumbangan lebih kukuh daripada sektor pelaburan dan pembangunan hartanah, perkhidmatan pengurusan serta perniagaan simen dan bahan binaan.

Bagaimanapun, perolehan kumpulan susut kepada RM7.64 bilion berbanding RM7.77 bilion pada S1 TK2025, terutamanya disebabkan prestasi yang lebih lemah dalam perniagaan pembinaan.

Konglomerat itu berkata ia kekal optimum dan berhati-hati terhadap prospek perniagaan pembinaannya walaupun berdepan tekanan inflasi berterusan serta ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.

Sementara itu, unit milik penuh YTL Corp, YTL Power International Bhd, merekodkan keuntungan bersih kukuh sebanyak RM500.57 juta pada S1 TK2026, meningkat daripada RM470.60 juta dalam suku yang sama tahun lalu.

Prestasi lebih baik itu didorong terutamanya oleh perniagaan air dan pembetungan serta aktiviti pegangan pelaburan, yang menerima manfaat daripada kerugian pertukaran asing yang lebih rendah.

Namun, perolehan YTL Power merosot kepada RM5.36 bilion berbanding RM5.68 bilion pada S1 TK2025, terutamanya dipengaruhi oleh prestasi segmen telekomunikasi.

Mengenai prospek, YTL Power berkata ia akan terus menawarkan pelan data mampu milik serta perkhidmatan 5G yang inovatif bagi mengukuhkan perniagaan telekomunikasinya.

“Segmen ini diyakini berupaya meningkatkan asas pelanggan, disokong oleh kerjasama strategik dan perkongsian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malayan Cement Bhd, pengeluar simen yang dikawal oleh YTL Corp, turut mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM200.57 juta pada S1 TK2026 berbanding RM139.44 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan tersebut didorong oleh pendapatan lebih tinggi, kos pembaikan dan penyelenggaraan yang lebih rendah, serta prestasi operasi yang lebih baik hasil peningkatan kecekapan berterusan.

Perolehan Malayan Cement turut meningkat kepada RM1.22 bilion berbanding RM1.17 bilion sebelum ini.

Syarikat itu menjangkakan permintaan simen kekal disokong oleh projek awam, pembangunan kediaman dan infrastruktur utama, selain pertumbuhan dalam hab logistik, pusat data dan kemudahan perindustrian.

BBerkaitan

Latest articles