YTL AI Labs Perkukuh AI Berdaulat Malaysia Melalui Model Baharu ILMU-Nemo-30B

KUALA LUMPUR, – YTL AI Labs mengumumkan pembangunan model kecerdasan buatan (AI) baharu, ILMU-Nemo-30B, yang dibangunkan melalui kerjasama strategik dengan NVIDIA bagi memperkukuh aspirasi Malaysia membina ekosistem AI berdaulat.

Model agentik berkeupayaan tinggi itu dibangunkan menggunakan model terbuka NVIDIA Nemotron dan dilatih dengan set data tempatan Malaysia, sekali gus mencatat peningkatan sebanyak 23 peratus dalam penanda aras MalayMMLU, ujian pengetahuan yang menilai keupayaan model memahami Bahasa Melayu dalam pelbagai domain.

Menurut YTL AI Labs, pembangunan model tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk membangunkan ekosistem AI kebangsaan yang kukuh, selamat dan berprestasi tinggi, selain meningkatkan keupayaan teknologi tempatan dalam mengendalikan tugasan kompleks yang memerlukan pemahaman konteks Malaysia.

Model ILMU-Nemo-30B dibangunkan menggunakan rangka kerja NVIDIA NeMo dan dilatih oleh jurutera penyelidik YTL AI Labs bersama pakar NVIDIA. Model itu menggunakan set data tempatan yang dihoskan di platform YTL AI Cloud, bagi memastikan keselamatan serta pemastautin data.

Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Dato’ Seri Yeoh Seok Hong, berkata kerjasama dengan NVIDIA merupakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan AI negara.

Beliau berkata, gabungan teknologi global NVIDIA dengan kepakaran tempatan YTL mampu mewujudkan ekosistem inovasi yang selari dengan keperluan nasional serta memastikan pembangunan AI yang selamat dan inklusif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun, berkata model baharu itu menyediakan platform kepada pembangun dan syarikat tempatan untuk membina aplikasi AI yang lebih pintar, berkesan dan sesuai dengan konteks budaya tempatan.

Model ILMU-Nemo-30B melengkapkan rangkaian model ILMU, iaitu model bahasa skala besar multimodal pertama buatan Malaysia yang diperkenalkan pada Sidang Kemuncak AI ASEAN tahun lalu. Beberapa organisasi tempatan termasuk Farben, J&C Pacific dan Swipey telah mula mengintegrasikan keupayaan ILMU dalam aplikasi masing-masing.

Dalam perkembangan sama, aplikasi chatbot ILMUchat kini berada dalam versi beta awam dan boleh dimuat turun melalui Apple App Store serta Google Play.

Model tersebut dijangka memperluas penggunaan AI dalam sektor kerajaan dan industri, khususnya bagi organisasi yang mengendalikan data sensitif serta memerlukan pematuhan terhadap keperluan keselamatan data tempatan.

BBerkaitan

Latest articles