Young Syefura Calon DAP Di Bentong

 

 

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara bakal menjadi taruhan DAP di Parlimen Bentong.

 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah berani meletakkan di kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan keputusan strategik yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

 

Ujarnya, ia adalah bagi memastikan hala tuju dan masa depan DAP ke arah kepelbagaian kaum dan hala tuju parti itu terus berkembang.

 

“DAP pusat telah memberi keyakinan penuh kepada calon wanita Melayu Young Syfura Othman atau Rara. Kesemua calon yang ditonjolkan bukanlah muka baharu tetapi mereka hanya baharu di peringkat Parlimen.

 

“Jadi, ini merupakan satu strategi yang dipertimbangkan oleh DAP, kita letakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman,” tambahnya.

 

Selain Rara, DAP turut menamakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di kerusi Parlimen Lipis yang merupakan kubu kuat UMNO.

 

Dua lagi nama yang turut ditampilkan adalah penyandang kerusi DUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong dan penyandang kerusi DUN Teras, Chow Yu Hui.

 

“Pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah pun memutuskan untuk meletakkan Tengku Zulpuri di kerusi Parlimen Lipis untuk berlawan di kubu kuat UMNO.

 

“Kali ini kita diberikan tanggungjawab untuk bertanding kerusi ini dan satu langkah yang penting untuk DAP menerokai kawasan UMNO dan kita meletakkan calon yang kuat daripada DAP sebagai usaha untuk memenangi kerusi Parlimen tersebut,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pengumuman calon DAP bagi negeri Pahang untuk PRU-15 di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

 

Anthony berkata, Tengku Zulpuri juga diberikan ruang untuk bertanding kerusi DUN di negeri berkenaan pada PRU kali ini dan beliau merupakan satu-satunya calon parti itu yang akan bertanding dua kerusi mewakili DAP di Pahang.

 

Katanya, DAP memutuskan perkara itu kerana Tengku Zulpuri akan bertanding di kerusi yang kedudukannya agak sukar.

 

Bagaimanapun, Anthony tidak menyatakan kerusi DUN yang akan ditandingi Tengku Zulpuri di peringkat negeri dan hanya akan memaklumkan mengenai perkara itu pada minggu depan.

 

 

BBerkaitan

Latest articles