KUALA LUMPUR: Seramai 600 golongan asnaf menerima sumbangan menerusi Program Infaq dan Zakat Aidilfitri 2026 anjuran Prestasi Setia Unggul dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional sebagai Penyelaras program.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (CEO), Datuk Aizuddin Mohd Ghazali berkata sumbangan itu sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan dan persiapan Aidilfitri golongan memerlukan.
“Sepanjang 27 hari Ramadan tahun ini, pelbagai program hasil kerjasama Yayasan Prihatin Nasional, Yayasan Sukarelawan Briged Khidmat Negara (MAIWP) dan Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan telah memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Daripada jumlah keseluruhan, kira-kira 6,000 penerima terdiri daripada warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerima sumbangan pakaian Aidilfitri, manakala 10,000 lagi melibatkan barisan hadapan termasuk petugas hospital dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hampir 4,000 penerima pula adalah pelajar universiti, menjadikan keseluruhan bantuan mencecah lebih 18,000 individu merangkumi golongan asnaf, mahasiswa dan ‘frontliners’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Infaq Zakat dan Sumbangan Aidilfitri Prestasi Setia Unggul sempena penutup Kembara Ramadan Prihatin 2026 di ibu negara, malam tadi.
Menurut Aizuddin, lebih 18,000 rakyat disantuni sepanjang Ramadan menerusi Kembara Ramadan Prihatin 2026.
Mengulas lanjut, Aizuddin berkata, usaha seterusnya bukan sekadar bantuan sekali beri, sebaliknya lebih tertumpu kepada sokongan berterusan dan kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat.
“Selepas Ramadan, cabaran sebenar bermula. Jadi kita mahu pastikan bantuan ini berterusan dan memberi impak jangka panjang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Yayasan Prihatin sedang merangka pelan bantuan jangka pendek antara tiga hingga enam bulan bagi membantu golongan miskin bandar khususnya di Lembah Klang.
Jelasnya, walaupun ada isi rumah berpendapatan sekitar RM4,000 hingga RM5,000, mereka masih berdepan kesukaran hidup sekiranya mempunyai tanggungan yang ramai.
“Ini realiti yang kita lihat di lapangan. Sebab itu kita sedang bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor korporat dan agensi kerajaan untuk mencari mekanisme bantuan berkala serta galakkan langkah penjimatan,” katanya.










