Yayasan Khalaz Berbesar Hati Dapat Bantu Mangsa Banjir, Teruskan Misi Ke Kuantan

SHAH ALAM: Hampir seminggu selepas banjir melanda Selangor, ramai pihak tidak putus-putus menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan dengan bencana yang melanda.

Demikian juga matlamat Yayasan Khalaz, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meluangkan kesempatan di Taman Seri Muda pada hari ini, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan untuk penduduk setempat.

Pengasasnya, Khalizah Alihan memberitahu, seramai 50 orang ahlinya Yayasan Khalaz turun padang bertumpu di Apartment Andora, Seksyen 25, bukan sahaja menyumbang keringat bagi kerja-kerja pembersihan, tetapi sumbangan keperluan yang lain.

“Kami datang memberi penduduk di sini dengan memberi sumbangan makanan dan pakaian terpakai. Bukan itu sahaja, Yayasan Khalaz juga turut membantu membersihkan rumah penduduk, kami bawa sendiri alat mencuci seperti water jet, sabun, penyapu,” katanya ketika ditemui The Rakyat Insight.

Tidak terhad di Shah Alam, Khalizah turut memaklumkan mereka turut membantu mangsa-mangsa banjir di Hulu Langat.

“Sebelum itu kami telah pergi Hulu Langat. Dan apa yang kami lihat, bantuan kepada mangsa-mangsa banjir disalurkan oleh mereka yang datangnya dari pelbagai kaum dan bangsa, walaupun penduduk di Hulu Langat itu majoritinya adalah kaum Melayu. Inilah yang kita panggil sebagai Keluarga Malaysia,” katanya lagi.

Malah, Yayasan Khalaz juga merancang untuk memberi bantuan seterusnya untuk mangsa-mangsa banjir di Kuantan, yang turut terjejas dengan bencana itu.

“Jadi saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai Yayasan Khalaz dan NGO yang lain untuk tujuan membantu rakyat Malaysia yang sedang dalam kesusahan,” katanya.

P

BBerkaitan

Latest articles