Yasin Terlepas Hukuman Penjara Seumur Hidup, Teruskan Rawatan Mental

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi terkenal, Yasin Sulaiman hari ini dibebaskan daripada semua tiga pertuduhan berkaitan dadah selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan yang dijatuhkan sebelum ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Che Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin, sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan untuk mengembalikan keputusan asal Mahkamah Sesyen yang mengarahkan Yasin, 50, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh diperkenan Sultan Selangor, bagi menerima rawatan berkaitan masalah kesihatan mental.

Dalam penghakimannya, Che Ruzima berkata Mahkamah Tinggi sebelum ini terkhilaf apabila menolak laporan saksi pembelaan utama, pakar psikiatri forensik Dr Ian Lloyd Anthony dari Hospital Bahagia.

Laporan itu, menurut mahkamah, berasaskan pemerhatian langsung terhadap Yasin dan bukan sekadar keterangan dengar cakap.

“Setelah mempertimbangkan keseluruhan bukti, kami berpendapat keterangan Dr Ian Lloyd Anthony adalah sah dan relevan. Terdapat bukti kukuh bahawa Yasin mengalami masalah bipolar disorder, disokong oleh laporan perubatan dari beberapa hospital termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Pantai,” katanya.

Mahkamah juga menekankan bahawa terdapat kegagalan di peringkat Mahkamah Tinggi untuk membuat perincian dapatan berkaitan isu kewarasan undang-undang yang dihadapi Yasin.

Yasin, yang diwakili peguam terkenal Hisyam Teh Poh Teik, sebelum ini dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Ogos 2024 selepas pihak pendakwaan berjaya merayu keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum itu membebaskannya.

Penyanyi lagu ikonik Mimpi Laila itu berdepan tiga pertuduhan berkaitan dadah, termasuk menanam 17 pokok ganja, memiliki 193.7 gram ganja, dan memasukkan bahan terlarang ke dalam tubuhnya, yang kesemuanya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes ini bermula selepas Yasin ditangkap pada 24 Mac 2022 di kediamannya di Kota Damansara.

Mahkamah Sesyen ketika itu mendapati Yasin tidak berada dalam keadaan waras meskipun sedar terhadap tindakannya, dan memerintahkannya menjalani rawatan mental.

Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha bertindak bagi pihak pendakwaan dalam prosiding hari ini.

BBerkaitan

Latest articles