More

    W’pun Sedikit, Undi Rakyat Terhadap PCS Bukti Ia Tetap Diterima

    Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman menganggap kekalahan pertama partinya di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semalam, sebagai satu percubaan terbaik buat pihaknya.

    Meskipun menerima jumlah undi yang sedikit, namun beliau percaya PCS sudah mula diterima rakyat Sabah walaupun dalam tempoh dua bulan ditubuhkan.

    “Kita masih mendapat sokongan dalam bentuk undi walaupun tidak menang. Nombor yang kecil, tetapi cukup untuk sebuah parti baru dalam perjuangan yang panjang. Cuba bayangkan kalau ada masa persediaan yang cukup, saya percaya PCS mampu meraihkan lebih sokongan,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Anifah juga mengingatkan calon-calon yang kalah untuk tidak berputus asa, sebaliknya terus bersuara dan berjuang demi hak-hak rakyat dan negeri itu.

    Malah beliau juga mengingatkan kesemua bekas calon PCS untuk menjadikan PRN Sabah sebagai medan persediaan mereka mendepani pilihan raya akan datang.

    “… pengalaman seperti ini adalah sangat penting untuk kita menilai kekurangan dan juga kekuatan kita.

    “Dan percayalah, PCS akan terus bersama anda dalam perjuangan tersebut,” ujarnya lagi.

    Untuk rekod, Anifah juga tewas di DUN Bongawan selepas Dr Daud Yusof dari Warisan sekali lagi berjaya mengekalkan kemenangannya di kerusi itu.

     

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini