Wisma Putra Saran Rakyat Malaysia Tangguh Perjalanan Ke Yala, Narathiwat, Pattani

KUALA LUMPUR: Susulan beberapa insiden keselamatan di wilayah selatan Thailand, Wisma Putra pada hari ini menasihatkan rakyat Malaysia yang sedang dan akan berada di wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani mengambil langkah berjaga-jaga atau menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke wilayah-wilayah berkenaan buat masa ini.

Kementerian Luar Negeri berkata, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, sedang memantau rapat situasi di wilayah-wilayah itu susulan beberapa insiden keselamatan baru-baru ini.

“Mengambil kira perkembangan terbaharu ini, warganegara Malaysia yang akan dan sedang berada di ketiga-tiga wilayah tersebut adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan sentiasa berwaspada.

“Kementerian ini juga meminta semua warga Malaysia untuk menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke wilayah-wilayah berkenaan buat masa ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga, warga Malaysia yang berada di wilayah berkenaan adalah dinasihatkan untuk mendaftarkan keberadaan dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat kawalan sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom tersebut sehingga situasi disahkan selamat selain sentiasa memantau perkembangan di Wilayah Narathiwat.

Hari ini, Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok Apichet Jeh-Ouma dilaporkan berkata serangan semalam dipercayai bertujuan mencetuskan kekacauan di selatan Thailand.

Beliau berkata, kumpulan penyerang yang berpakaian serba hitam dan bertutup muka menaiki dua kenderaan sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi serta melemparkan bom ke arah pos kawalan.

Sekiranya berlaku kecemasan, warganegara Malaysia boleh berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla melalui butiran di bawah:

KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI SONGKHLA
Alamat: No. 4, Sukhum Road
Muang District
Songkhla Province
Thailand
Nombor telefon: +6674 311 062 / +6674 316 274
+6693 657 0707 (kecemasan sahaja)
E-mel: [email protected]

Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

BBerkaitan

Latest articles