Wisma Putra Sahkan 23 Rakyat Malaysia Ditahan Israel Selamat, Usaha Bawa Pulang Dipergiat

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri mengesahkan semua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Menurut Wisma Putra, kesemua mereka akan dihantar pulang melalui sebuah negara ketiga dengan sokongan konsular yang sedang diatur kerajaan.

“Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilapor telah mengarahkan Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk segera mendapatkan kerjasama kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.

Langkah diplomatik ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan memastikan keselamatan serta pembebasan segera 23 rakyat Malaysia yang kini ditahan.

Wisma Putra turut memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Mohamad Hasan sedang berhubung dengan pemimpin antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Qatar dan Turkiye bagi mendapatkan sokongan lebih luas.

Kerajaan Malaysia dalam kenyataannya menegaskan penahanan peserta flotilla itu adalah tidak sah serta menuntut mereka dilayan mengikut undang-undang antarabangsa dan dibebaskan segera.

“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat di luar negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencabulan hak asasi,” tegas Wisma Putra.

Terdahulu, Anwar mengesahkan rejim Israel menahan 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF dan perkara itu telah dimaklumkan sendiri kepada rakan sejawatnya dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

BBerkaitan

Latest articles