SEPANG: Suasana penuh emosi dan semangat solidariti menyelubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) malam tadi apabila semua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza selamat tiba di tanah air.
Pesawat yang membawa kumpulan aktivis itu mendarat pada 10.07 malam, sebelum mereka mula keluar di Balai Ketibaan Antarabangsa sekitar 11.25 malam, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh ratusan rakyat yang menanti sejak awal malam.
Kehadiran media tempatan dan antarabangsa menjadikan suasana di balai ketibaan sesak, manakala orang ramai yang membawa bendera Palestin dan sepanduk solidariti tidak henti-henti melaungkan “Bebaskan Palestin!” serta “Allahuakbar!” sebagai tanda sokongan kepada perjuangan kemanusiaan itu.
Turut hadir menyambut kepulangan para aktivis ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang mengucapkan syukur atas keselamatan semua sukarelawan.
Kepulangan mereka menamatkan debaran rakyat Malaysia selepas kumpulan itu ditahan oleh tentera Israel pada 2 Oktober lalu di perairan Gaza, sebelum dibebaskan hasil usaha diplomatik berterusan kerajaan.
Selepas penahanan, kesemua sukarelawan dibawa ke penjara Ketziot di padang pasir Negev, sebelum diterbangkan ke Istanbul, Turkiye, untuk proses pulang ke tanah air. Mereka menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul pada 3.40 petang, sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia.
Antara sukarelawan terkenal yang tiba malam ini ialah penyanyi dan aktivis Nur Heliza Helmi bersama adiknya Nur Hazwani Afiqah Helmi, personaliti media sosial Norfarahin Romli (Farah Lee), penyanyi Zizi Kirana, pendakwah Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat), serta pelakon Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana).
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) disertai aktivis dari seluruh dunia bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menuntut pengakhiran sekatan zalim Israel ke atas wilayah itu.










