KUALA LUMPUR: Umno memberi bayangan jelas bahawa parti itu bersedia membuka semula pintu kepada mana-mana bekas ahlinya, termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam usaha menyatukan orang Melayu di bawah satu wadah politik yang lebih kukuh.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata pendirian terbuka itu bukan perkara baharu, sebaliknya telah dizahirkan secara rasmi dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 dan tidak tertumpu kepada individu tertentu sahaja.
“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja, bukan hanya Hamzah, tetapi semua bekas ahli Umno demi penyatuan orang Melayu,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT).
Namun begitu, beliau menegaskan sebarang keputusan menerima semula bekas pemimpin parti tertakluk sepenuhnya kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
“Setakat ini tiada sebarang permohonan diterima daripada Hamzah. Jika ada, MKT akan membuat keputusan. Jika diluluskan, kita ucapkan ‘welcome home’,” katanya.
Ahli MKT Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pula menjelaskan keterbukaan parti itu perlu dilihat dalam konteks gagasan besar yang digariskan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika PAU Januari lalu.
Menurutnya, tiga konsep utama iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agong menjadi simbol kepada pendekatan inklusif Umno terhadap pihak yang pernah berada di luar parti tetapi ingin kembali bersama.
“Ketiga-tiga gagasan ini melambangkan keterbukaan Umno kepada sesiapa sahaja yang mahu bersama dalam membina kekuatan politik Melayu,” katanya.
Ahmad turut berpandangan kenyataan Zahid mengenai kesediaan menerima semula bekas pemimpin, termasuk Hamzah, selari dengan realiti politik semasa, khususnya ketika Bersatu berdepan pergolakan dalaman.
Sebelum ini, Zahid menegaskan Umno sentiasa terbuka menerima kepulangan mana-mana individu ke dalam parti, selaras dengan matlamat gagasan Rumah Bangsa yang bertujuan menyatukan kembali orang Melayu di bawah kepimpinan politik yang stabil dan berpengalaman.
Untuk rekod, Hamzah merupakan antara enam Ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu pada 14 Disember 2018 atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Zahid ketika itu.
Beliau juga dilaporkan dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu susulan dakwaan terbabit dalam kekecohan Perhimpunan Agung Bersatu serta serangan terbuka terhadap presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.










