KUALA LUMPUR: Restoran pertama milik pempengaruh terkenal, Khairul Aming, iaitu Rembayung yang terletak di Kampung Baru, mencatat sambutan luar biasa apabila menerima kira-kira 3,000 tempahan pelanggan sebaik slot dibuka pada sesi pertama, malam tadi.
Khairul Aming meluahkan rasa syukur namun pada masa sama memohon maaf kepada orang ramai selepas laman web restoran berkenaan mengalami gangguan akibat trafik terlalu tinggi.
Menurutnya, walaupun persiapan telah dibuat rapi, jumlah pengunjung yang melayari laman tempahan melebihi jangkaan sehingga menyebabkan sistem ‘crash’.
“Kita sudah selesai proses tempahan pertama. Saya mohon maaf kerana laman web tergendala. Trafik terlalu tinggi dan seramai 3,000 pelanggan berjaya membuat tempahan bermula esok dan hari-hari seterusnya,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Beliau turut mengakui keletihan menguruskan situasi tersebut dan memohon orang ramai memberi ruang kepada pasukannya untuk menambah baik proses tempahan akan datang.
Slot tempahan Restoran Rembayung dibuka secara rasmi pada jam 9 malam, dengan maklumat lanjut dijelaskan Khairul menerusi sesi siaran langsung di TikTok.
Beliau turut mengalu-alukan kumpulan pertama pelanggan yang dijadual menikmati sajian di restoran itu bermula esok.
“Tolong datang ke Rembayung, kami akan cuba beri pengalaman terbaik. Terima kasih atas sokongan luar biasa,” katanya.
Terdahulu, Khairul mengumumkan pembukaan Rembayung awal bulan lalu, selepas hampir setahun menyiapkan projek restoran makanan kampung itu dengan kos kira-kira RM4 juta.
Restoran berkeluasan 8,000 kaki persegi itu terletak hanya beberapa minit dari KLCC dan mampu menampung lebih 250 pelanggan pada satu-satu masa.
Rembayung tampil dengan konsep rumah kampung moden dua tingkat berunsur ‘semi glass-house’, yang menampilkan suasana desa di tengah kota.
Selain itu, pembukaan restoran tersebut turut membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 50 anak tempatan.










