KUALA LUMPUR: Setiap pihak perlu melihat versi asal dan secara menyeluruh video wawancara Perdana Menteri bersama Cable News Network (CNN) baru-baru ini yang menyentuh Ekonomi Madani dan negara secara amnya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendakwa wujud unsur khianat tidak bertanggungjawab yang bertindak menyunting video wawancaranya itu semata-mata mahu memberu persepsi negatif terhadap dirinya.
Menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut- PN) di Dewan Rakyat, Anwar menasihatkan bekas menteri tersebut supaya melihat rakaman video dan membaca berita penuh semasa wawancara berkenaan.
“Merujuk temu bual CNN, saya syorkan Larut (Hamzah) lihat keseluruhan tembu bual itu dan tidak lihat cut and paste (suntingan, dipotong) yang dibuat.
“Kita telah pun tunjukkan yang dikeluarkan CNN yang memberikan liputan sepenuhnya tapi ada unsur khianat yang memotong menunjukkan tidak ada jawapan lengkap,” katanya.
Terdahulu, Hamzah meminta Perdana Menteri menyatakan inovasi baru Ekonomi Madani yang berbeza dengan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Ekonomi Madani yang dicetuskan di bawah pentadbirannya bertunjangkan kemampanan ekonomi dan pembangunan fizikal selain isu nilai dan ehsan.
“Asas pertama, konteks negara kita berbeza pasca Covid-19 kita terima kenyataan kita berhadapan dengan keadaan tidak terjangkau dan kadang-kadang berlaku dalam keadaan serentak.
“Oleh itu kita memikirkan keperluan memperkenalkan dasar yang selari dengan nilai, agama, pemikiran dan masalah tempatan yang tidak semestinya sesuai dengan saranan awal Bank Dunia.
“Ekonomi Madani juga mendokong cita-cita menyeluruh negara bukan sahaja hasil ekonomi tetapi sasaran sosial, tatakelola,” jelas beliau.
Beliau turut bersetuju bahawa usaha untuk memberi penjelasan lebih lanjut perlu digerakkan supaya rakyat faham tentang Ekonomi Madani.