KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengambil maklum pelbagai aduan umat Islam yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan beberapa agensi umrah sejak kebelakangan ini
Beliau nenegaskan adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pengendali untuk memenuhi ‘perjanjian’ yang dipersetujui dengan penuh amanah.
“Saya ingin nasihatkan kepada syarikat pelancongan untuk tunaikan amanah kepada pelanggan dan buat perancangan sebaiknya.
“Sekiranya syarikat (agensi umrah) tidak dapat memenuhi perjanjian, maka jemaah boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa seperti MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya berlaku penipuan,” katanya memetik BH.
Mohd Na’im mengulas isu keluhan segelintir jemaah yang sedang melaksanakan ibadat umrah di Tanah Suci ketika ini yang mendakwa agensi umrah tidak ‘menunaikan janji’ mereka.
Ada yang mendakwa dipindahkan ke hotel yang lokasinya lebih jauh dengan keadaan tempat penginapan yang tidak kondusif, malah ada yang terpaksa tinggal sehingga enam orang dalam satu unit hotel sempit dengan keadaannya digambarkan seperti penempatan asrama.
Bagaimanapun, beberapa agensi umrah mengakui isu yang tular di media sosial itu benar-benar berlaku, namun ia bukan disebabkan mereka menipu jemaah.
Sebaliknya mereka mendakwa ia dipengaruhi beberapa faktor antaranya musim puncak menunaikan umrah yang dijangka berlarutan bulan depan sehingga permintaan terutama untuk penginapan di Makkah dan Madinah terlampau tinggi sehingga harganya dinaikkan sesuka hati, malah ada tempahan awal agensi umrah dibatalkan saat akhir kerana ada pihak yang sanggup membayar dengan harga lebih tinggi.
Mohd Na’im turut menegaskan supaya umat Islam lebih berwaspada, terutama memilih agensi umrah yang berlesen dengan MOTAC dan memiliki rekod serta prestasi yang baik.
“Saya sentiasa nasihatkan umat Islam agar sentiasa berhati-hati apabila memilih syarikat pelancongan bagi menunaikan ibadat umrah.
“Jemaah perlu pastikan syarikat adalah berlesen dengan MOTAC dan mempunyai pengalaman dan ‘track record’ yang baik,” katanya.