KUALA LUMPUR: Seorang wartawan sebuah portal berita direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan wang berjumlah RM20,000.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Baveniyah R Jothi di Mahkamah Majistret di sini pagi ini, selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tempoh reman bermula hari ini hingga Selasa depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009.
Wartawan terbabit tiba di mahkamah sekitar jam 9.30 pagi dalam keadaan bergari serta memakai baju lokap berwarna oren dan diiringi pegawai SPRM.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa tangkapan dilakukan di sebuah hotel di Shah Alam kira-kira jam 11.30 malam semalam.
Menurut Azam, penahanan itu berkaitan dengan siasatan kes rasuah dan bukan berhubung pendedahan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti yang dilaporkan oleh portal berita wartawan berkenaan.
“Wartawan itu dipercayai menerima wang sebanyak RM20,000 daripada seorang ejen pekerja warga asing. Ketika tangkapan dibuat, wang berkenaan berada dalam milikannya,” katanya ketika dihubungi media.